Transformasi Atau Transfomers
Transformasi politik atau Transformasi Parti yang dilaungkan nampak tiada kejayaan. Malah gagal sama sekali apabila PRU13 BN mendapat keputusan lebih buruk pada zaman pemerintahan Pak Lah. Kenapa jadi begini? Sudah tentu kerana transformasi ini hanyalah dilaksanakan dengan kerja-kerja membaik pulih pengurusan dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Tetapi adakah saf pimpinan Najib sudah ditransformasikan? Atau masih lagi memiliki anggota tertinggi yang hanya menjadi ketua-ketua yang lemah?
Rakyat Malaysia tidak mahu robot transformers. Mereka hanya seronok untuk dilihat sebagai hiburan semata-mata. Kempen parti BN yang berhabis-habisan dilihat sebagai gagal secara 'total' apabila tewas kepada calon-calon PR yang tidak sibuk berkempen dan berceramah bagai nak gila. Calon-calon mereka hanya santai dan bersiar-siar jumpa kepala-kepala yang memegang pengundi. Tiada ceramah yang banyak dan besar-besar. Tetapi menang besar. Pujian harus diberi kepada PR yang kini telah menyatukan jiwa dan semangat untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.
Bagaimana ia boleh terjadi? Sudah tentu ini bukan satu proses gerak kerja yang singkat. Mereka telah bekerja lebih daripada sepuluh tahun. Menyerap kepercayaan kepada rakyat bahawa pemimpin BN mesti dibungkus dalam plastik sampah kerana mereka ini pengamal rasuah, penindas rakyat dan pembazir nyata telah memenangi hati rakyat. Perasaan benci terhadap kerajaan BN semakin mendadak apabila kerusi pertandingan calon-calon BN kalah teruk berpunca daripada saluran-saluran pengundi veteran dan separuh umur. Apatah lagi saluran 4 - 6 sudah tentu pengundi muda tidak beri undinya kepada calon-calon BN.
Jika dahulu dalam sebuah keluarga, mak ayah sokong BN anak-anak sokong PR. Si mak ayah kempen kepada anak-anak untuk sokong BN. Ternyata kali ini anak-anak mereka yang berjaya memusingkan kepala dan jiwa mak ayah mereka daripada menyokong BN bertukar kepada menyokong PR. Bagaimana pula dengan adik-adik mereka yang bakal mengundi buat kali pertama pada PRU14 nanti? Sudah tentu jawapannya dah ada.
Cara menyebar video salah laku atau moral buruk pemimpin PR tidak langsung memberi impak bagi menurunkan jumlah pengundi PR. Malah ia menambah kebencian dan mewujudkan rasa simpati kepada pemimpin kesayangan mereka.
Barisan Nasional di dalam dilema. Tak beri dikata tak jaga rakyat, bila beri dikata salah guna wang rakyat!
Corak BN yang lebih kepada memperjuangkan hak Melayu sudah jadi sia-sia apabila PAS menerima kaum Cina untuk bersama membentuk kerajaan. Ini satu kesempatan terbaik bagi kaum Cina untuk menjayakan misinya. Pakatan Rakyat disokong padu oleh satu bangsa ke dua terbesar di Malaysia. Maka tidak hairan PR semakin diterima rakyat dan semakin diyakini.
Bukan sekadar memperjuangkan hak Melayu. Tetapi memperjuangkan kaum Cina dengan menambah pelbagai bantuan tidak berjaya mendapat undi mereka. Mereka berhak untuk menuntut apa sahaja kerana mereka juga rakyat Malaysia. Mereka juga berhak untuk tidak beri undi kepada BN kerana hak mengudi itu hak mereka. Orang BN nak marah ... nak buat apa marah. Salah pun pemimpin Barisan Nasional juga dahulu. Sewaktu kuat dan tegap mereka sombong, lalai dan tidak mahu lakukan transformasi. Apabila nasi sudah menjadi bubur baru nak dijadikan nasi. Mana boleh jadi nasi. Ia akan terus menjadi bubur.
Rakyat sudah mula benci sebenci bencinya kepada kerajaan sampai sanggup menterbalikkan bendera negara mereka sendiri. Ini juga kerana mereka nampak kumpulan orang-orang Melayu sendiri yang sangat besar mahu menjatuhkan kerajaan. Kalau nak kata marah, siapa yang tak marah apabila bendera Malaysia diberi tunjuk 'thumb down'. Nak buat macam mana, sebab dah jadi bubur.
Menangani sesuatu perkara dengan emosi akan menjadikan seseorang itu bodoh kerana gagal bertindak secara rasional. Tetapi macam mana nak menangani tanpa emosi apabila sudah memang tertekan emosinya.
Buat salah, tak buat salah. Jadi semua serba salah. Secara peribadi saya sendiri tak suka perkara begini terjadi. Kita nak hidup aman dan damai. Dahulu semua bangsa bersatu. Kini bangsa yang bersatu hanya jelas di permukaan Pakatan Rakyat.
PRU12 dan PRU13 BN semakin tewas banyak kerusi. PRU14 nanti pasti akan hilang lebih banyak. Jangan marah kaum Cina, kerana mereka bangkit begini sebab mereka bergabung dengan kaum Melayu sendiri.
Transformasi sudah gagal. Robot-robot Transformers sudah kalah dalam PRU13. Transgender yang mereka sokong pulak menang. Lepas ni nak Trans apa lagi?
Sewaktu PRU12 apabila BN kalah di Selangor baru timbul berita-berita UMNO dan PAS akan bersatu. Tetapi PAS tak sudi pun. Jangan la perasan sangat. Nanti jadi hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. PRU13 dah selesai dengan kekalahan bergaya Barisan Nasional di beberapa negeri. Timbul sekali lagi cerita dongeng angan-angan Mat Jenin untuk UMNO dan PAS bersatu. Tak rasa malu ke apabila orang-orang UMNO dan PAS saling mencaci hina sesama sendiri, lepas tu nak ajak duduk sebumbung. Boleh jadi ke? Atau tak boleh? atau memang tidak mustahil untuk terjadi?
Rakyat Malaysia pun dah ramai kahwin campur. India kawin dengan Melayu, Cina kahwin dengan India, Melayu kahwin dengan Cina. Yang kahwin dengan anak minah atau mat salleh pun dah bersepah. Mana boleh kita sebut perjuangan yang menjurus kepada perkauman. Kalau perjuangan menjaga hak dan menghormati hak kaum-kaum tertentu itu harus dipelihara. Barulah hidup aman harmoni.
Walaubagaimana pun kesedaran perlu ada bagi setiap rakyat Malaysia. Politik dan pilihanraya bukannya perang saudara atau perang perkauman. Ia hanyalah pemilihan kerajaan yang hendak dibentuk. Negara sudah semakin maju. Sasaran Malaysia maju tahun 2020 pun sudah hampir tiba. Tapi senario politik amat menyeramkan dan membimbangkan. Negara sudah seakan tiada harmoni. Dunia luar pula banyak yang sibuk campur tangan urusan negara kita. Kalau tak minta orang tak beri. Mestilah sebab rakyat Malaysia sendiri meminta pertolongan dari negara luar. Kepercayaan terhadap SPR dan Kerajaan walau telus macam mana sekali pun sudah tiada.
Ketahuilah wahai kawan-kawan, perasaan benci yang keterlaluan juga tidak baik. Ini akan menutup hati dan jiwa dengan menafikan dan menidakkan setiap nikmat yang diterima. Tuhan juga tidak suka sifat yang begini. Kita sudah diberi akal untuk berfikir, jadi haruslah kita fikir dengan baik dan rasional. Ikut emosi dan hasutan itu juga tidak baik. Nanti banyak perkara buruk boleh tercipta.
Pada hari ini jelas dan terang rakyat Malaysia tidak suka kepada Najib dan Rosmah. Kalau dahulu Tun Mahathir mendapat kebencian rakyat yang semakin besar peningkatannya setelah terlalu lama menjadi Perdana Menteri walaupun Tun terlalu besar jasanya kepada rakyat dan negara. Bila Tun bersara, Pak Lah ambil tempat untuk mengganti. PRU11 Pak Lah mendapat sokongan luar dugaan ibarat Tsunami politik. Kemenangan itu menjadikan lagi pemimpin UMNO dan BN leka. Ini bukan cerita bohong, kalau bohong masakan Najib banyak kali memohon maaf kepada rakyat di atas kesilapan-kesilapan kerajaan BN yang lalu. Pak Lah setelah diberi mandat, buat banyak kerosakan pula. Najib bekerja keras untuk baik pulih keadaan. Tetapi kerja keras Najib jadi sia-sia kerana rakyat juga tak suka Najib dan Rosmah.
Justeru, untuk mengembalikan kestabilan politik dan kerajaan Barisan Nasional serta kekuatan parti UMNO dengan apa cara lagi yang ada? Sudah tentu dengan meletakkan seorang Ketua yang disenangi dan tiada kebencian daripada rakyat. Kita bukan tidak berterima kasih kepada Najib. Tetapi kita juga tidak mahu kerja bertungkus-lumus yang akhirnya memberi kekalahan kepada parti. Ketua baru mesti dinaikkan dan orang ini mestilah orang yang bersih, tiada isu kebencian dan mampu menjadi ikon kepada masyarakat. Akan tetapi tidak semestinya ia dilakukan dengan kadar segera, kerana kita juga punya rasa kesihan terhadap Datuk Seri Najib yang sudah bekerja keras selama lima tahun. Cuma kerja keras itu penghujungnya ada sedikit kesilapan yang tidak seharusnya terjadi. Kesilapan yang dimaksudkan ini adalah salah memilih calon yang bertanding pada PRU13 lalu. Terdapat ramai orang yang bekerja selama lima tahun tidak dicalonkan. Sedangkan mereka lah yang telah banyak mendapatkan kepercayaan para pengundi di kawasan mereka. Sebaliknya orang yang diberi mandat untuk menggalas tugas sebagai calon terdiri dari kalangan orang yang bukan menjadi 'favourite' pengundi. Akhirnya ikon yang pengundi percaya dan sayang disingkirkan. Macam mana tak beralih undi kepada Pakatan Rakyat. Ini terjadi sudah pasti apabila mereka dikecewakan lagi. Tidak pernah dalam sejarah UMNO ada 16 orang ahlinya bertanding dalam tiket BEBAS. Ini juga menandakan mereka kecewa. Takkan kita nak marah dan salahkan mereka kerana ada sifat kecewa pula sedangkan mereka sendiri yang dikecewakan. Sekarang siapa yang paling kecewa?
Transformasi sebenar adalah transformasi secara total. UMNO khususnya mesti melakukan 'Rebranding' atau akan menjadi semakin lemah.
Teruskan perjuangan demi Agama, Bangsa dan Negara tercinta. Melayu, Cina, India dan seluruh bangsa-bangsa di Malaysia adalah seNegara. Kembalikan keharmonian dan kedamaian jika mahukan negara yang maju dan makmur.
Walaubagaimana pun Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menang PRU13 dan juga berjaya membentuk sekali lagi kerajaan. Tahniah juga pada hari ini telah diberi lagi kepercayaan dan amanah begi memikul tanggung-jawab sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Walaubagaimana pun Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menang PRU13 dan juga berjaya membentuk sekali lagi kerajaan. Tahniah juga pada hari ini telah diberi lagi kepercayaan dan amanah begi memikul tanggung-jawab sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Sekian cebisan kata ikhlas daripada saya. Fikirkan dengan tenang dan sabar tanpa emosi.
Sayangi Ahli Parti, Yakini Calon Pilihan Rakyat ....
Sayangi Ahli Parti, Yakini Calon Pilihan Rakyat ....
0 comments:
Post a Comment